Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS merupakan satu manifestasi pertamadunan umat Islam di Malaysia dan tidak akan memberi sebarang ancaman kepada penganut agama lain.

Beliau berkata usaha-usaha penyatuan antara dua parti terbesar orang Islam di negara ini sudah giat dijalankan sebelum ini namun mendapat tentangan pihak-pihak tertentu.

"Pelbagai strategi jahat oleh pihak tertentu khususnya pimpinan DAP yang sangat takut terhadap kesatuan orang Islam sebegini. Oleh yang demikian, Pemuda UMNO Pahang ingin menegaskan bahawa kesatuan orang Islam tidak akan membawa apa-apa ancaman kepada penganut agama lain.

"Islam sebuah agama yang menganjurkan kepada keadilan dan sentiasa mengutamakan keharmonian dalam hubungan sesama manusia yang lain tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa," tambah beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Shahar berkata Pemuda UMNO Pahang bertekad untuk terus memperkasakan usaha perpaduan antara masyarakat Islam yang dijalankan sebelum ini.

"Marilah kita anak muda terus berusaha gigih dan berganding bahu untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan perpaduan sesama kita agar amanah sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini dapat ditunaikan dengan jayanya," ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga berkata Pemuda UMNO Pahang menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghulurkan salam perpaduan kepada PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Majlis Perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada Khamis, di Kuala Lumpur.