Kerjasama antara Pas dan UMNO bukan bermusim dan tidak hanya berlaku apabila tiba pilihan raya kecil (PRK), kata Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh.

Beliau berkata kerjasama itu telah dipersetujui di peringkat Pas pusat dan selari dengan tuntutan Islam supaya bantu membantu dalam menjaga kebajikan rakyat dan ketakwaan.

"Kerjasama ini untuk kepentingan Islam dan rakyat. Ia bukanlah bermusim," katanya dalam sidang media pada Jumaat selepas menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Muslimat Pas ke-58 yang dirasmikan Naib Presiden Pas Idris Ahmad.

Turut hadir memenuhi undangan ke muktamar itu ialah Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ketika berucap, Nuridah berkata Dewan Muslimat mempunyai perancangan untuk membudayakan politik matang yang mengutamakan kepentingan Islam dan memartabatkan wanita dan peranannya dalam negara serta di persada antarabangsa.

"Kita harus sedar mengenai status UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bukan lagi sebagai kerajaan pemerintah, tetapi telah menjadi pembangkang seperti Pas.

"Usaha ta'awun siyasi di atas kejatuhan itu tidak boleh dipandang sepi oleh kepimpinan dan anggota Muslimat. Jangan pula ada suara sumbang yang terbawa-bawa dengan angkara lepas tanpa melihat tugas dan tanggungjawab dakwah kita," katanya.

Sementara itu, Noraini ketika ditanya perasaannya ketika hadir di Muktamar kali ini berkata ia adalah permulaan yang baik dan berbesar hati apabila mendapat pelawaan Pas.

" Ini adalah pertama kali (hadir ke muktamar) dan bukan yang terakhir. Gerak kerja dan muafakat ini adalah demi Islam dan melayu," katanya yang turut menjemput Muslimat Pas hadir ke persidangan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 Sept ini.

-- BERNAMA