Kerajaan negeri Selangor hanya akan menjadi sebuah kerajaan negeri yang dingin dan suram tanpa sebarang polisi yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata sesebuah kerajaan negeri itu sukar untuk berfungsi jika tiada kerjasama politik.

"Dingin dan suram, maksudnya tiada faktor 'wow' untuk diketengahkan kepada pengundi dengan keadaan politik yang berpanjangan kerana idea untuk diketengahkan kepada pengundi dan juga mereka untuk menggerakkan instrumen bersama kerajaan dan juga parti.

"Bagi saya mereka terpaksa berjalan dengan polisi yang sedia ada. Maka, itu memberikan masalah kepada Pakatan Harapan di Selangor dan juga Pas.

"Sebab itu saya rasa apa yang terjadi situasi ini ialah situasi yang mengikat dan tersudut untuk mereka menjelaskan kepada pengundi dan suasana itu akan berjalan dengan biasa dan suram," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas semalam yang memutuskan hubungan politik dengan PKR susulan terdapat pelanggaran syarat-syarat tahaluf siyasi.

Jelasnya, situasi itu akan sedikit sebanyak memberi impak positif kepada UMNO dan Barisan Nasional.

"Secara tidak langsung atau relatifnya begitu. Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana UMNO mengambil peluang ini untuk menerangkan kepada pengundi dan mendapatkan jumlah besar mereka terutama di kawasan komposisi bukan Melayu dalam pilihanraya akan datang," katanyanya.

Namun, jelas Hisomudin, ia bergantung kepada corak politik yang dimainkan UMNO dan BN untuk menarik pengundi di Selangor.