Dakwaan mengatakan Kerajaan Pusat tidak memainkan peranan membantu menangani banjir di Pulau Pinang usaha pembangkang mengelirukan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata ia sekali gus kenyataan kolot seolah-olah Kerajaan Pusat tidak mahu meluluskan projek tambak laut di negeri berkenaan.

"Bagi saya, rakyat khususnya di Pulau Pinang harus sedar mengapa Kerajaan Persekutuan sehingga kini masih tidak memberi kelulusan terhadap projek tersebut.

"Jika kelulusan diberi, ia akan mengakibatkan periuk nasi 1,800 orang nelayan terjejas teruk berikutan kesan projek tambakan laut tersebut.

"Sebelum ini, para nelayan telahpun membuat bantahan terhadap projek tersebut kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

BACA: RM2.5 bilion dilabur untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang sejak 2006

BACA:
MCA sedia bekerjasama dengan kerajaan P. Pinang atasi banjir

Pada Ahad, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Pengerusi Majlis Tindakan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman membuktikan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM2 bilion untuk projek tebatan di negeri itu seperti didakwa.

Menurut Guan Eng, hanya RM300,000 dibelanjakan kerajaan pusat berdasarkan rekod yang diperiksanya dan mempersoalkan baki daripada peruntukan tersebut.

Ia sebagai membalas kenyataan Zainal Abidin yang mendakwa kerajaan pusat tidak pernah memberhentikan peruntukan untuk projek mitigasi banjir di Pulau Pinang walaupun dipimpin DAP sejak 2008.

Menurutnya, RM2 bilion itu merangkumi RM1.5 bilion termasuk RM34 juta untuk pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang daripada RMK-10 (2006-2010), dan RM404.5 juta daripada RMK-11 (2011-2015).

Untuk rekod kata Fahariyah, projek yang akan mewujudkan kawasan tambahan seluas 4,500 ekar melalui tiga pulau di laut mengadap Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar itu dibimbangi akan menjejaskan mata pencarian 1,800 nelayan dan alam sekitar di lokasi berkenaan.

"Umum sedar, Kerajaan Persekutuan tidak pernah mempolitikkan agenda pembangunan negara dan demi kebaikan rakyat, malah ia jelas terbukti melalui projek pembinaan dan penambahbaikan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) termasuk di negeri Selangor yang diperintah oleh pembangkang.

"Oleh yang sedemikian, pastinya, kenyataan Guan Eng itu sebenarnya sangat tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan untuk memburukkan nama kerajaan pusat dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sedarlah," tegasnya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal dakwaan mengatakan kerajaan pusat tidak memainkan peranan membantu menangani banjir di Pulau Pinang.

Sejak 2006 katanya, kerajaan telah melaburkan sejumlah RM2.5 bilion ringgit untuk pelbagai projek, termasuk 29 projek besar untuk mitigasi banjir di negeri tersebut.