IPOH: Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang selesa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada rakyat ketinggalan.

"Kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif melalui kerjasama strategik antaranya inisiatif kos sara hidup dan bantuan Sumbangan Tunai Ramah bagi memastikan bebanan rakyat dapat dibantu.

"Kerajaan juga mengambil langkah serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)," katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 peringkat kebangsaan di Ipoh pada Ahad.

Tambah Perdana Menteri, sekurang-kurangnya 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan golongan B40 dapat dibantu menerusi inisiatif terbabit.

"Bak peribahasa Melayu, bagai jawi makan, dimamah dahulu baru ditelan, di mana segala inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan hari ini telah dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada rakyat yang
ketinggalan dalam mengecapi kesejahteraan dan terus terpelihara kebajikannya," katanya.

Bertemakan Malaysia MADANI, Tekad Perpaduan Penuhi harapan, jelas Perdana Menteri ia selari dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi, aman dan sejahtera.

Pemilihan tema itu bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI dalam memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan, berteraskan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan,kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.

"Sesungguhnya perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan merupakan aset penting kepada negara. Oleh itu, ia perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan.

"Apabila kita mengibarkan Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang, bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh.

"Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat," jelasnya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu, barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh itu disertai hampir 10,000 orang rakyat.

Majlis dimulakan dengan acara 6,600 Langkah Perpaduan seawal jam 6.30 pagi, diikuti program Fun Run terbuka sejauh lima kilometer dan Fun Walk bagi warga emas, kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagi merancakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang turut dilancarkan pada Selasa.

Kembara berkenaan akan menjelajah ke seluruh negara dengan membawa semangat kenegaraan dalam setiap derap langkah ke semua destinasi yang dituju.

Pada masa sama, hampir 300 program cinta negara turut akan dijalankan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Jabatan Penerangan Malaysia di seluruh negara.