'Kenapa ramai pemimpin UMNO diheret ke mahkamah?' - Ahmad Maslan

Diyana Ibrahim
Oktober 18, 2018 10:05 MYT
AHMAD: Ini yang saya nak ulang kenapa ramai pemimpin UMNO yang diheret ke mahkamah dan pemimpin mereka seorang demi seorang dibebaskan. - Gambar fail
“Kenapa ramai pemimpin UMNO yang diheretkan di mahkamah dan ramai pemimpin Pakatan Harapan (pula) dibebaskan,” soal Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.
Beliau yang menyifatkan tindakan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bermotifkan politik dan merupakan satu pendakwaan terpilih.
“Ini yang saya nak ulang kenapa ramai pemimpin UMNO yang diheret ke mahkamah dan pemimpin mereka seorang demi seorang dibebaskan.
“Ini adalah bukti tindakan berpilih. Kita minta kerajaan hentikan pendakwaan terpilih ini dan kita maju ke hadapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
SPRM hari ini telah menahan bekas Ahmad Zahid kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Beliau ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
Bekas timbalan perdana menteri itu akan menghadapi beberapa pertuduhan dibawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
BACA: SPRM tahan Zahid Hamidi
Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyan Kuala Lumpur pada Jumaat untuk pertuduhan tersebut.
Sementara itu, Ahmad berkata, Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan bahawa Ahmad Zahid akan kekal sebagai presiden.
“Kita ada mesyuarat malam tadi. Dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Dan kita memutuskan bukan sahaja Ahmad Zahid kekal sebagai presiden, bahkan menyokong beliau," katanya.
#Ahmad Maslan #Ahmad Zahid Hamidi #AMLA #mahkamah #Majlis Tertinggi UMNO #Pakatan Harapan #Parlimen #pemimpin UMNO #pendakwaan terpilih #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #UMNO