Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung tindakan pemimpin mereka yang membuat lantikan politik, walaupun perkara itu dilihat bertentangan dengan manifesto pilihan raya mereka.

Penganalisis Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata, jika ia tidak dilakukan, perkara itu akan menimbulkan krisis keyakinan, seterusnya mewujudkan imej negatif terhadap pakatan itu.

“Walaupun Pakatan Harapan melihat ia (pelantikan itu) perlu, kita boleh anggap ia bertentangan dengan prinsip dasar yang mereka sendiri nyatakan dan ianya boleh menyebabkan pelbagai tafsiran dan kritikan.

“Mungkin justifikasi itu perlu supaya ia dapat berikan keyakinan dan kepercayaan kembali terhadap masyarakat yang kini sentiasa memerhatikan tingkah laku kerajaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Semalam Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengumumkan pelantikan dua ahli majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) serta Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd.

Rina yang juga Ketua Wanita Bersatu dan Pakatan Harapan berkata, pelantikan berkenaan telah pun mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguam yang dikatakan rapat dengan Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut diumum sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang baharu.

Pelantikan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan yang sering bercanggah dengan apa yang mereka janjikan pada pilihan raya umum lepas.

“Tidak akan ada lantikan politik oleh PH dalam GLC. Malaysia baharu... mungkir janji sejak 10 Mei 2018,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.


Turut disenaraikan sebagai lantikan politik sebelum ini ialah, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan (Pengerusi PTPTN), Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman (Ahli Lembaga Pengarah SKM), AJK Tertinggi Amanah, Mazlan Aliman (Pengerusi LPP).

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, walaupun lantikan itu mungkin mempunyai meritnya, seperti latar belakang dan pengalaman mereka yang dilantik, namun sudah pasti ia akan terus mengundang kritikan secara berterusan.

“Sudah pasti parti pembangkang juga akan mengguna isu ini sebagai bahan untuk melahirkan krisis ke atas kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pimpinan PH,” katanya lagi.