Kempen 'Jangan Mengundi PRU14 dan Kempen Undi Rosak' yang tular di laman sosial hanyalah melibatkan pengundi pembangkang yang tidak yakin dengan kepimpinan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata penyokong Barisan Nasional (BN) tidak mungkin terlibat dalam kempen sedemikian kerana mereka masih mahu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan kerajaan BN kekal memerintah negara.

"Kebanyakan orang yang tak nak keluar mengundi bukanlah mereka yang menyokong BN sebab penyokong BN masih mahu BN menjadi kerajaan... mereka akan keluar mengundi.

"Yang tak akan keluar ialah mereka yang menyokong pembangkang tapi kecewa dengan realiti sebab pembangkang dah 'caca marba'... jadi, mereka tak nak keluar mengundi. Untuk saya, kita nak mereka (orang ramai) keluar mengundi untuk undi BN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Wacana Ekonomi bersama lebih 150 pengamal Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di sini, pada Khamis.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media baru-baru ini mendakwa kempen berkenaan didalangi orang UMNO.

Sebelum ini tular di laman sosial, kempen antiPRU14 yang menyebarkan mesej dengan tanda pagar (hashtag) #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata kerajaan memberi fokus kepada industri kreatif yang merupakan satu sektor penting dalam negara.

"Industri ini mempunyai pelbagai isu dan cabaran yang perlu dilihat dan mereka (industri kreatif) juga perlu diiktiraf. Oleh kerana ia bersifat kreatif, kadang-kadang kerajaan mungkin tak nampak pentingnya keutamaan sektor ini.

"Kerajaan perlu melihat industri ini sebagai satu komponen penting untuk menjadi negara maju. Kalau nak digelar negara maju, bukan sahaja melibatkan bangunan yang besar, ekonomi, orang yang pakai kereta besar tetapi juga pengisian dalaman, apa budayanya?

"Adakah industri kreatif itu berkembang dan menjadi pemangkin kepada ekonomi. Ini yang mungkin kita belum tekankan," katanya.

Abdul Rahman berkata segala permasalahan dan isu yang ditimbulkan ketika wacana tersebut termasuk peruntukan kewangan, prasarana dan akta akan dikemukakan ke pihak berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kabinet.

-- BERNAMA