Kemenangan besar oleh kumpulan pro ulama dalam pemilihan PAS kali ini tidak bermakna golongan profesional disisihkan, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Katanya sumbangan dari golongan profesional tersebut masih diperlukan bagi mengukuhkan kekuatan parti itu.

"Bukan maknanya kita menyisih diri dari golongan profesional untuk selama-lamanya ... tidak. Walaupun demikian kita masih perlu sumbangan golongan profesional yang kita rasakan selama ini telah pun menyumbang dalam memberikan kekuatan parti dan saya harap mereka akan terus memberi sumbangan kepada parti dan tidak menyisihkan diri," katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini.

BACA:
Salahuddin yakin kepimpinan baharu PAS akan laksanakan tugas lebih baik

Tsunami pro ulama di Pemilihan PAS


Ditanya sama ada beliau terkejut dengan keputusan yang memihak kepada golongan ulama itu, katanya beliau tidak terkejut kerana ia boleh dilihat dari senarai pencalonan.

FOTO:
Muktamar Pemuda PAS kali ke-56

"Dilihat daripada pencalonan yang mencalonkan jawatan penting itu banyak dari golongan ulama.

"Maka tidaklah saya terkejut, tetapi tidak lah begitu besar kemenangan bagi pihak ulama," kata Haron.

Mengulas lanjut, katanya mesej daripada akar umbi kali ini menyatakan bahawa mereka inginkan golongan ulama melaksanakan tanggungjawab yang diberi untuk menerajui kepimpinan parti.

"Mereka hendakkan ulama ini supaya ambil tanggungjawab dan amanah, seterusnya melaksanakan kerja dengan dedikasi dan taat," tambahnya.