Majlis Senator Malaysia (MSM) menyifatkan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 sebagai bukti kesetiaan dan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Presidennya Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata kemenangan besar BN dalam pilihan raya tersebut juga menunjukkan rakyat masih setia menyokong kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam meneruskan legasi kecemerlangan BN dalam membangunkan negeri Sarawak.

"Kemenangan BN di Sarawak juga menunjukkan harapan rakyat kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan dan meneruskan pembangunan ekonomi serta kemakmuran rakyat jelata," katanya dalam kenyataan malam tadi.

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 pada Sabtu.

MSM mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak atas mandat yang diberikan serta keyakinan dan penerimaan yang baik terhadap kepimpinan BN, katanya.