Menubuhkan perikatan baharu adalah jalan terbaik untuk Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Hal itu diakui penganalisis politik, Dr Jeniri Amir ekoran gelombang besar yang berlaku di dalam politik Malaysia ketika ini.

Katanya, mahu tidak mahu BN Sarawak terpaksa ambil tindakan drastik.

"Keluar daripada BN pusat dan tubuhkan satu entiti politik yang baharu.

"Bagaimanapun, berdasarkan mesyuarat PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) pada Rabu, mereka memberitahu mereka mahu kaji semula kedudukannya dalam BN.

"Jadi saya percaya, sebelum itu PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang lain – SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), PRS (Parti Rakyat Sarawak) dan PDP (Parti Demokratik Progresif) – terlebih dahulu akan berunding dan ambil keputusan terbaik untuk Sarawak," katanya.

Dr Jeniri Amir berpendapat BN Sarawak terpaksa ambil tindakan drastik seperti menukar nama, logo dan hala tuju.
Jelas Dr Jeniri lagi, cabaran besar harus didepani dan tidak menolak semua perkara perlu ditimbang seperti penjenamaan semula BN Sarawak.

"Mungkin nama baharu yang boleh digunakan ialah Perikatan Sarawak. Komponen BN Sarawak perlu menjenama semula BN termasuk dari segi slogan, lambang dan hala tuju di Sarawak.

"Komponen itu juga perlu melihat projek-projek mega sebelum ini memandang kerajaan pusat telah bertukar," katanya.

Jelasnya, ini kerana BN Sarawak pasti tidak mahu dibayangi dengan nama barisan atau pakatan, lebih-lebih lagi terkait dengan kerajaan sekarang selain BN juga sudah tidak relevan.

Sementara itu, menurut seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, BN Sarawak sukar berfungsi dengan baik tanpa sokongan kerajaan pusat.

Menurut Prof Dr Awang Azman, BN Sarawak sukar berfungsi dengan baik tanpa sokongan kerajaan pusat.
"Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Patinggi Abang Johari Tun Openg melihat tempoh ini sebagai tempoh tenang sebelum membuat apa-apa keputusan yang lebih drastik dan realistik.

"Selama ini BN Sarawak bergantung kepada kerjasama baik dengan kerajaan pusat ketika BN memerintah," katanya.

Jelas Awang Azman, dalam hubungan baik dgn BN, Ketua Menteri Sarawak pernah mendakwa Sarawak kurang diberikan perhatian dan diabaikan ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.

Sejauh mana pertimbangan ini difikirkan sebaiknya oleh BN Sarawak, memandangkan kerajaan pusat di Putrajaya ditadbir oleh kerajaan baharu dan bukannya BN lagi.