Pemimpin politik terutama bukan Melayu diingatkan tidak menjadikan agama Islam sebagai bahan persendaan dalam usaha meraih sokongan pengundi.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perbuatan itu akan melukakan hati umat Islam di samping menunjukkan sifat tidak matang pemimpin dalam menjaga sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Apabila satu pihak hatinya telah terluka, pasti akan membangkitkan kemarahan yang sudah tentu tidak memberi kebaikan kepada perpaduan rakyat yang selama ini menjadi tonggak ketahanan negara.

"Perbuatan menghina termasuk mempersendakan pemimpin Melayu beragama Islam jelas mempunyai niat jahat dan tidak sepatutnya berlaku di mana Islam termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali mengulas sikap sesetengah pemimpin politik bukan Melayu yang sengaja mengambil kesempatan memutarbelitkan isu berkaitan agama Islam sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Tegasnya, ada sesetengah pihak sengaja memutarbelitkan sesuatu isu berkaitan Islam untuk menunjukkan mereka sebagai juara kepada satu kaum lain terutama apabila menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU).

"Pemimpin politik sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dengan memelihara perpaduan dan menghormati kebebasan beragama supaya menjadi teladan kepada generasi muda.

"Pemimpin politik menjadi perhatian masyarakat dan apabila mereka berperangai tidak senonoh atau perlakuan kurang ajar, sudah semestinya akan membangkitkan kemarahan orang ramai.

"Tetapi malangnya, isu agama terutama memabitkan Islam sengaja dan berterusan dipolitikan oleh pihak berkepentingan untuk meraih sokongan dan simpati pengundi," jelasnya.

Menurutnya, politik berasaskan sentimen perkauman dan agama sememangnya tidak sesuai diprovokasikan di negara ini memandangkan pelbagai kaum dan etnik sekian lama hidup aman damai di Malaysia.

"Pemimpin Melayu terutama UMNO tidak pernah menghina, mempertikai dan memperlekehkan institusi agama lain walaupun kadangkala Islam telah dihina secara terbuka.

"UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan umat Islam di negara ini sentiasa berpandu kepada prinsip menghormati agama lain dan berpegang kepada semangat musyawarah.

"Orang Melayu dan umat Islam di negara ini masih lagi berpegang kepada teras Perlembagaan negara dengan saling hormat-menghormati budaya, agama dan adat resam kaum lain," tegasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, politik yang bermain dengan sentimen agama hanya akan membawa kehancuran kepada negara dan rakyat.

"Memang ada kumpulan yang seronok apabila isu agama di politikkan, tetapi musibahnya ternyata tidak memberi sebarang kebaikan kepada semua pihak.

"Negara pada awal penubuhannya dibina berasaskan kepentingan semua kaum walaupun Melayu merupakan penduduk pribumi dan majoriti negara ini.

"Itulah semangat setiakawan yang dirangka pada awal kemerdekaaan negara dan sehingga kini menjadi acuan kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang merdeka dengan rakyat pelbagai kaum berpegang kepada prinsip perpaduan untuk semua," katanya.

Sehubungan itu, Syed Ali mengingatkan mana-mana pemimpin politik bukan Melayu terutama blok pembangkang supaya tidak menjadikan agama sebagai isu politik untuk menagih populariti.

"Sejak kebelakangan ini terutama pemimpin politik Cina mula menunjukkan belang mereka dengan sengaja mempersendakan, menghina dan mempersoalkan kesucian agama Islam.

"Perbuatan tersebut hanya mengundang ketidakselesaan orang Melayu dan umat Islam apabila berasa tahap kesabaran mereka sengaja diuji oleh bukan Islam," ujarnya.