Bantuan itu turut merangkumi penggantian buku akaun dan kad debit secara percuma.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi pelanggan disebabkan bencana tersebut.
"Jadi kami proaktif dalam merangka pelan-pelan khusus untuk meringankan beban kewangan pelanggan seterusnya memastikan mereka dapat fokus kepada proses pemulihan.
"Diharapkan bantuan pembayaran ini dapat memberikan sokongan yang diperlukan dalam mengharungi tempoh mencabar ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Tambah Tengku Ahmad, terdapat juga pelanggan yang mengalami kerosakan harta benda dan ladang yang menjejaskan aktiviti pertanian.
"Ia secara langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka," ujarnya.
Menurutnya lagi, Agrobank turut akan menghubungi pelanggan yang terjejas bagi menawarkan bantuan dan sokongan sewajarnya.