Laporan beberapa agensi berita yang mengatakan PKR akan menghantar lebih dua nama calon Menteri Besar (MB) Selangor kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan tidak boleh dipercayai.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli di dalam posting Tweetnya berkata, tiada pihak seharusnya percaya kepada berita daripada sumber dalaman yang dilihat bukan rasmi daripada parti sendiri.


"Laporan bahawa PKR mahu calonkan nama kedua untuk MB tidak benar. Jangan percaya berita 'sumber dalaman', katanya dalam Tweet itu.

Sebelum ini, laporan menyebut, tindakan parti DAP and Keadilan mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggambarkan kebiadapan dan keengkaran kepada institusi Raja.

Sultan Selangor telah menerima senarai nama calon Menteri Besar Selangor dari ketiga-tiga parti di dalam parti Pakatan Rakyat sepertimana titah Sultan di dalam surat bertarikh 27 Ogos.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata PKR gagal memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Jelas Najib, parti itu juga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk memastikan cita-cita untuk melantik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor tercapai.