DAP akan mencemar sistem demokrasi sekiranya pilihan raya mengejut di Pulau Pinang diadakan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata jika dilakukan, maka ia dilihat bertujuan sebagai referendum demi meraih simpati dan sokongan rakyat kepada ketua menteri Lim Guan Eng yang kini berhadapan pertuduhan rasuah.

"Ketua Menteri, Lim Guan Eng kini berhadapan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang sanggup menyalahgunakan pilihan raya sebagai 'pelampung penyelamat' Guan Eng semata-mata demi kepentingan parti dan peribadi pemimpin mereka, serta membebankan rakyat di Pulau Pinang asalkan agenda politik mereka tercapai," ujarnya.

Katanya, jika diadakan pilihan raya negeri sebelum perbicaraan di mahkamah akan membolehkan DAP dan Guan Eng memainkan sentimen dan emosi rakyat agar mempercayai Guan Eng adalah mangsa politik dalam isu pertuduhan rasuah ke atasnya itu.

"Dalam situasi ini, DAP tidak sepatutnya menjadikan rakyat Pulau Pinang sebagai mangsa politik rakus dengan memberi cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"Sekiranya DAP berani dan kuat di Pulau Pinang, semua ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP sendiri yang letak jawatan, bahkan tidak perlu mengheret kerusi dari parti lain sehingga mencadangkan pembubaran DUN," ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan parti itu kini jelas seakan mahu mencemar sistem demokrasi sedia ada.

"Tindak- tanduk DAP yang angkuh lagi tamak perlu ditundukkan. Kalau dalam pilihan raya umum yang lalu DAP bertanding 19 kerusi daripada 40, namun kini mereka 'berselera tinggi' mahu 25 kerusi," kata beliau.

Datuk Irmohizam menegaskan kegagalan DAP dan PKR dalam mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi menyebabkan rancangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang jelas menunjukkan kelompongan kepimpinan pembangkang untuk mentadbir negara.

"Tiada parti politik yang mampu menggabungkan parti komponen sebanyak 13 buah parti selain Barisan Nasional.

"Parti kerajaan yang stabil adalah mercu tanda kepada perpaduan dan kesejahteraan dan bukan menjadikan rakyat sebagai boneka politik tetapi membela kebajikan dan berkhidmat untuk rakyat," katanya lagi.