Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam keras penahanan Wartawan Malaysia Kini, Susan Loone selama mengikut Akta Hasutan kerana ia berlawanan dengan semangat kebebasan media.

Pihak berkuasa tidak wajar melakukan penahanan itu kerana wartawan hanya membuat laporan berdasarkan temu ramah dengan individu tertentu.

Jika ada kesalahan dalam laporan, penjelasan balas boleh dibuat. Sebaliknya penangkapan itu dilihat sebagai usaha menakut-nakutkan pengamal media.

Apatah lagi, ia dibuat beberapa jam selepas Susan memberi kerjasama kepada polis dengan memberi keterangan berhubung siasatan mengenai kontroversi Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

GERAMM juga bimbang penahanan Susan ada unsur campur tangan politik berikutan isu PPS melibatkan kepentingan politik dua pihak bertentangan.

Kejadian itu mengulangi tragedi penahanan wartawan Sin Chew, Tan Hoon Cheng pada 12 September 2008 yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan ketika itu kemudian memberi alasan tidak munasabah iaitu mahu 'menjaga keselamatan' wartawan berkenaan. Apakah polis melakukan tangkapan itu atas alasan sama dalam kes Susan?

_____________________________________________________________

GERAM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.