KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan melakukan tindakan segera dalam menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan di seluruh negara ketika ini.

Sambil menyifatkan isu tersebut kini menjadi krisis negara, Anwar berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan perlu bertindak dengan lebih pantas.

"Kerajaan perlu ambil berat, empat atau lima kementerian buatlah cepat, ambil tindakan kepada pihak yang menyorok barangan, kedua jangan amalkan monopoli.

"Antara sebab harga sayur-sayuran menjadi tinggi ialah faktor pengangkutan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) buat apa?

"Jadi semua agensi kerajaan masa inilah ambil langkah bantu supaya kos harga barangan diturunkan.

"Rakyat gaji tidak naik, tetapi harga barang naik; bukan sedikit tetapi menggila.

"Ini menyebabkan rakyat golongan bawahan B40 tidak dapat makan sayuran, ayam dan sebagainya," katanya, pada Rabu.

Harga Barang | Kerajaan gagal urus kemelut kenaikan harga barang 
 
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Jawatankuasa Kabinet perlu dibentuk untuk melihat isu kenaikan harga barangan supaya dapat memberi tekanan dan mengawal harga keperluan asas.

Isu kenaikan harga barang menjadi perhatian susulan aduan daripada pelbagai pihak mengenai perkara itu.

Dilaporkan terdapat peningkatan harga barangan dan sayur-sayuran pada margin yang luar biasa susulan pelbagai faktor.