JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) mengkritik tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan 'fatwa' bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September depan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah mula masuk fahaman takfiri akibat berkawan dengan Pas.

Takfiri merujuk kepada perbuatan mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan pihak tertentu.

"Saya tak sangka Muhyiddin, orang yang saya hormat.. saya jarang sentuh dia tetapi bila dia buat 'fatwa' haram untuk mengundi calon kita (Suhaizan), saya kata inilah akibat berkawan dengan Pas.

"Dia dah mula masuk fahaman takfiri. Kita kena jaga.. Tolong lah masyarakat Malaysia, apa pun perbezaan pandangan, kita jangan 'cop' orang ini terkeluar Islam... orang ini ahli syurga... (atau) orang ini ahli neraka. Itu Allah SWT yang menentukan," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Tampoi, di sini, pada Ahad malam.

Turut hadir antaranya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar serta Suhaizan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam ceramah Perdana di Pulai didakwa meletakkan hukum 'haram' bagi mereka yang mengundi Suhaizan.

Muhyiddin mendakwa, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan didakwa tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu mengambil contoh daripada kehancuran tujuh negara Islam akibat pertelagahan serta fatwa-fatwa daripada ketua kaum masing-masing.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, negara-negara berkenaan antaranya Afghanistan, Iraq, Syira serta Somalia.

"Sebab itulah kita kena jaga. Unsur pelampau, unsur fanatik, takfiri... jangan izinkan masuk ke Johor, boleh ke tidak?

"... kerana tak nak izinkan itu, kita kena menangkan (calon PH) di Pulai dan Simpang Jeram," ujar Mohamad.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah, perpaduan yang terbentuk antara parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan didakwa menimbulkan kebimbangan kepada PN.

Ini kerana, beliau berkata, kemenangan calon PH dan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan Pelangai, Pahang boleh menyekat kemaraan 'ombak hijau'

"Mereka bimbang sebab kalau perpaduan kita ini berterusan, kita menang di Pulai, Simpang Jeram, Pelangai, Insya-Allah ombak hijau akan berakhir.

"Selepas 9 hari bulan (September) nanti kita pula bergerak ke Bentong, Pahang. Kita akan lihat di situ, Insya-Allah calon daripada BN (akan diletakkan)," katanya lagi.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.