Kebanyakan mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyaksikan ramai perwakilan, khususnya dalam kalangan belia, menyuarakan minat dan sokongan terhadap usaha Sarawak memajukan negeri menerusi ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata beliau amat berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat tersebut yang sedang berlangsung ketika ini, dan gembira dengan minat ditunjukkan ramai perwakilan terhadap usaha kerajaan itu.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk bekerja keras bagi menjayakan rancangan pembangunan itu kerana umum memang mengetahui ekonomi digital adalah cara terbaik untuk melonjakkan ekonomi, dan minat rakyat dalam menjayakannya perlu dipupuk.

"Pertumbuhan ekonomi negeri ketika ini secara puratanya sekitar empat peratus. Kita harapkan ekonomi digital ini akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih ketara.

"Pada 2030, Sarawak disasar menjadi negeri maju, dan sasaran itu hanya boleh dicapai sekiranya pertumbuhan ekonomi tahunan negeri berada sekitar enam peratus," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Satok di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak tidak mempunyai masalah melahirkan tenaga mahir dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi digital, namun ia perlu disusuli dengan pembangunan infrastruktur mencukupi serta capaian dan kadar penembusan internet yang tinggi dengan kelajuan mencukupi, bagi memupuk minat orang ramai untuk turut sama menjayakannya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut mewujudkan mekanisme pembiayaan tersendiri dengan membangunkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), khusus untuk terbabit dalam pelbagai projek strategik yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata dalam kegigihan membangunkan kawasan bandar, kerajaan juga tidak melupakan pembangunan luar bandar menerusi pelbagai inisiatif, dengan usaha menyediakan akses lebih baik bagi kawasan-kawasan berkenaan bagi memudahkan usaha membawa pembangunan ke tempat tersebut.

Abang Johari berkata beliau turut kagum dengan minat ditunjukkan perwakilan PBB khususnya di kawasan pedalaman terhadap ekonomi digital, dan mereka inilah perlu diberi perhatian, selain benar-benar berharap ekonomi digital akan membawa perubahan dalam kehidupan mereka.

Mesyuarat perwakilan peringkat ranting dan cawangan PBB yang sedang berlangsung kini, dijangka selesai pada 31 Dis, bagi membolehkan Perhimpunan Agung tiga tahun sekali PBB diadakan pada 8 hingga 12 Feb depan.

-- BERNAMA