Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mempengerusikan sesi pendengaran bantahan awam terhadap syor persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Sesi bantahan itu melibatkan lima bahagian dalam Parlimen Mambong dan Parlimen Stampin.

Bagaimanapun, kawasan mana yang terlibat tidak didedahkan kepada pemberita.

Sesi pendengaran awam itu diadakan 8.30 pagi dan 2.30 petang di Dewan Masyarakat Kuching, di sini turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan lima ahli suruhanjaya tersebut.

Juga hadir Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah.

Usaha pemberita yang menunggu sejak 2 petang di pintu utama dewan tersebut bagi mendapatkan reaksi Abdul Aziz mengenai sesi pendengaran awam itu gagal selepas beliau bersama enam lagi ahli suruhanjaya itu keluar menggunakan laluan lain.

Sementara itu, Takun ketika ditemui pemberita berkata selepas selesai semua proses semakan bantahan, syor itu akan dipamerkan sekali lagi.

SPR mula mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah itu pada 5 Januari lepas hingga 4 Februari di beberapa tempat di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Dun Sarawak kini bertambah dari 71 kerusi kepada 82.

Sebelas kawasan baharu DUN yang disyorkan itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Tellian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.

Sesi pendengaran awam bermula pukul 10 pagi di Dewan Masyarakat Serian pada Selasa.