Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menegaskan pihaknya tidak mahu lagi dilayan seperti kad 'Touch 'n Go', sebaliknya diberikan peluang untuk menjadi perwakilan dan layak mengundi pada pemilihan parti itu.

Ketua DHPP Johor, merangkap Ketua Wanita DHPP, Kumutha Raman berkata pihaknya merasakan PAS hanya melibatkan mereka dalam program anjuran parti itu apabila tiba musim pilihan raya sahaja.

"Selepas pilihan raya mereka kurang panggil kami untuk program-program mereka," katanya ketika ditemui Bernama pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini hari ini.

Beliau menyarankan supaya PAS memperbaiki kesilapan dan kelemahan tersebut bagi mengukuh serta mengeratkan hubungan antara PAS dan DHPP.

Selain itu, Kumutha, yang pernah menjadi calon wanita bukan Islam pertama PAS di kerusi Parlimen Ulu Tiram pada pilihan raya umum 2008, berkata sudah tiba masanya PAS mempertimbangkan kedudukan DHPP sebagai perwakilan yang layak mengundi dan bukan lagi sebagai pemerhati sahaja.

Katanya perkara itu pernah disuarakan oleh beliau pada muktamar lepas namun ia seolah-olah dipandang sepi oleh PAS.

Oleh itu, katanya pada muktamar kali ini, DHPP sekali lagi menyuarakan hasrat mereka itu sebagai satu 'peringatan' kepada PAS untuk segera mempertimbangkan kedudukan mereka sebagai perwakilan dan seterusnya diberi hak untuk mengundi pada pemilihan parti.

Ketua DHPP Selangor, Datuk K.Deepakaran berkata pihaknya berharap mereka diberi peluang untuk mengundi pada pemilihan parti dalam tempoh lima atau enam tahun lagi.

Hal ini kerana, katanya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh PAS untuk meluluskan tuntutan ini termasuk mengubah perlembagaan parti.

"Mungkin mengambil masa yang panjang, apapun bagi saya undi atau tidak undi itu tidak berapa penting asalkan kita bersama dengan keluarga besar PAS," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang, Kumutha berkata sama ada PAS, DAP mahupun PKR tidak boleh bergerak sendiri dan harus kekal dalam pakatan itu.

"Jika ketiga-tiga parti ini mahu bergerak secara sendiri, percayalah tiada satu pun yang akan menang, oleh sebab itu Tahaluf Siyasi yang kita ada sekarang ini perlu diperkukuhkan," katanya.