KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Dewan Rakyat pada Isnin sedikit panas ketika beliau menyentuh isu bencana dalam penggulungannya.

Semuanya bermula apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan masalah banjir di kawasannya yang agak teruk dan mencemaskan.

Malah, beliau mendakwa pada dua minggu lepas, disebabkan banjir teruk di Muar, dua keluarga terpaksa ditempatkan di rumahnya.

“Saya kongsikan pengalaman perit ini kerana sebelum ini, semua Ahli Parlimen lain sudah dapat peruntukan khas kerajaan. Ahli Parlimen Pakatan Harapan, dalam tempoh terdekat dapat kira-kira RM600,000 dalam tempoh tiga bulan sahaja.

SEMUA CORAT-CORET DI PARLIMEN ADA DI SINI

Dewan Rakyat | Syed Saddiq, Abdul Latiff bertikam lidah

“Di meja kerajaan, RM3.8 juta, Sabah dan Sarawak ada sampai RM5 juta, di Muar RM0. Saya berjumpa sendiri Perdana Menteri, saya percaya kepada diplomasi, tiga kali dah jumpa,” katanya.

Abdul Latiff kemudian memotong, menyatakan bahawa isu dibangkitkan Syed Saddiq melibatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Itu ICU punya hal, saya faham itu. YB Muar punya hal dengan Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik sama. Saya cerita pasal bencana. Mohon izin Tan Sri (bercakap kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun).

Syed Saddiq: “Macam mana saya nak tolong orang kawasan saya, bila mereka ditempatkan…

Abdul Latiff: “Takpe, takpe, saya faham. Tak perlu kita bertengkar, selepas ini kat luar saya selesaikan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kemudian cuba bangun untuk mencelah namun Abdul Latiff tidak benarkan.

“Baling, tak perlulah Baling, duduk, saya boleh handle dia (Syed Saddiq),” kata Abdul Latiff.

Azhar kemudian bersuara, meminta Syed Saddiq untuk duduk sebelum Abdul Latiff menyambung penggulungannya.