KUALA LUMPUR:Demokrasi sepatutnya menyelesaikan masalah anak muda dan bukannya menyokong sebarang percakaran politik bagi kepentingan atau survival pihak berkepentingan.

Demikian pandangan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha mengenai penurunan ketara minat dan kepercayaan anak muda terhadap sistem demokrasi negara.

"Demokrasi ini diguna untuk hanya semata-mata survival atau pemimpin politik sedia ada tidak meletakkan kepentingan rakyat pada keutamaan utama.

"Kita tidak sebut bahawa pemimpin politik ini tidak mengutamakan rakyat tapi mereka tidak meletakkan kepentingan rakyat itu di tangga pertama terutamanya ketika rakyat tengah berdepan dengan COVID-19 ini," katanya ketika ditemubual di sini, pada Ahad.



Kajian yang dilakukan oleh Pusat Masa Hadapan Demokrasi di Universiti Cambridge baru-baru ini mendapati generasi milenium yang berusia 18 hingga 24 tahun kini tidak lagi berpuas hati dengan sistem demokrasi sedia ada berbanding generasi-generasi sebelum ini.

Trend itu kata Jufitri amat membimbangkan sekiranya anak muda secara terus kurang minat dan tidak mempercayai akan sistem demokrasi.

"Ini kerana demokrasi merupakan satu mekanisme untuk memilih pemimpin dan mempengaruhi dasar serta polisi negara untuk bergerak ke hadapan.
 
"Ada antara anak muda ini berpegang kepada prinsip dan idealisme, jadi mereka melihat ketidakadilan, tata kelola yang tidak baik berlaku di peringkat akar umbi yang membuatkan mereka hilang kepercayaan," jelasnya.

BACA: Keyakinan Generasi Milenium terhadap demokrasi kian berkurangan - Kajian 

Justeru, Jufitri mencadangkan agar parti-parti politik menampilkan ahli politik kanan yang berkaliber, tidak menyeleweng, mempunyai prinsip dan mampu menjadi model kepada yang lain.

"Selain menampilkan tokoh-tokoh anak muda sebagai calon pilihan raya di semua peringkat, kita juga perlu menyediakan platform yang membolehkan mereka berpartisipasi secara langsung seperti mewujudkan kumpulan merentas parti di Parlimen berkenaan hal ehwal belia," ujarnya lagi.