DAP Perak mendakwa penukaran nama kerusi Dewan Undangan Negeri Sitiawan kepada Astaka menerusi usul persempadanan semula merupakan satu penghinaan kepada rakyat di kawasan itu yang telah wujud sejak zaman kemerdekaan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming mendakwa, nama “Astaka” itu diambil sempena nama sebuah gelanggang bola keranjang di dalam kawasan berkenaan sedangkan Sitiawan merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah.

“Apa logiknya nama itu? Itu nama gelanggang bola keranjang, (Suruhanjaya Pilihan Raya) sewenang-wenangnya sahaja menghapuskan sejarah Sitiawan hanya semata-mata kerana pengundi di situ menyokong pembangkang.

“Seluruh pengundi Sitiawan perlu memastikan calon Barisan Nasional (BN) hilang deposit (pada Pilihan Raya Umum ke-14) demi mempertahankan sejarah dan maruah mereka,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Selain pindaan nama berkenaan, beliau turut mempertikaikan pemindahan lebih 27,000 pengundi dari Parlimen Lumut ke Beruas.

“Ini satu lagi perkara mengarut, mereka tahu Sitiawan selalu berani dan sanggup sokong Pakatan Harapan dan kerana mungkin tak boleh menang di Lumut maka dipindahkan 27,000 pengundi ke Beruas.

“Mereka (pengundi) semua terkejut, tak masuk akal sekarang Beruas merupakan antara parlimen yang mempunyai pengundi teramai di Perak,” ujarnya.

Parlimen Beruas kini disandang Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham manakala Parlimen Lumut disandang oleh Laksamana Pertama (B) TLDM Mohamad Imran Abd Hamid dari parti PKR.