SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh menyelar Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa parti itu membawa agenda politik perpecahan.

"Cukup-cukuplah membawa kepada politik perpecahan. Pilihan raya dah selesai, ini masa rakyat Malaysia bersatu hati, politikus jangan tak habis-habis bawa agenda perpecahan.

"Orang muda bawalah idea yang lebih baik, bukan lebih teruk," bidasnya menerusi catatan di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini bahawa empat negeri di bawah pemerintahan parti itu mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Ahmad Fadhli berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN pada Sabtu.

Tegas Dr Muhamad Akmal, PN juga harus sedar bahawa Malaysia keseluruhannya mempunyai 14 negeri dan bukan ada empat negeri sahaja.

"Jika alasan (mereka untuk buat perkara ini dengan cakap) kerajaan Selangor dulu boleh buat, takkan kami tak boleh buat, jawapan saya adalah kalau ada orang buat benda tak betul, takkan kita nak ikut sekali buat benda yang kita rasa tak betul," ujarnya. - Sinar Harian