Tiada pelan B untuk UMNO kecuali kembali bersatu mempertingkatkan segala usaha dan ikhtiar bagi mendesak kepimpinan parti menyatakan dengan jelas jalan ke hadapan untuk parti.

"Kesemua agenda penyatuan dan masa depan hanya akan menjadi realiti jika kerajaan kita stabil, parti kita kuat dan kita diyakini.

"Kita harus berlaku benar dan mengakui bahawa parti pada detik ini tidak berada dalam kedudukan sebenarnya," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini.

"Ini bukan persoalan enteng. Ini adalah tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.

"Kita mengajak kepada kesatuan. Itulah yang memberi harapan bahawa ada jalan keluar dari semua isu yang melemaskan," ujar Khaled yang mahu UMNO bebas segera daripada kemelut yang dihadapi.

Beliau turut menegaskan bahawa sandaran harapan itu terletak juga pada peranan Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam majlis itu, Hishammuddin hadir bersama isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, Timbalan Ketua UMNO Sembrong Abd Ghani Abd Rashid, Ketua UMNO Kluang Md Jais Sarday, ADUN Kahang R Vidyananthan serta ADUN Paloh Teo Yap Kun.

Hadir sama ialah Ketua Wanita UMNO Sembrong Noraslina Zainal Abidin, Ketua Pemuda UMNO Sembrong Onn Hafiz Ghazi, dan Ketua Puteri UMNO Sembrong Norhafizah Mohamad Naim.