SEREMBAN: Selepas keluar daripada MIC tahun lalu, kini bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L Manickam memilih untuk menyertai Pas.

Beliau berkata, keputusannya menyertai Pas kerana berasakan ia adalah parti terbaik buatnya ketika ini untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya menyertai Pas melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kira-kira dua minggu lalu iaitu ketika Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) DHPP pada 21 Julai lepas.

"Saya telah menerima kad keahlian pada hari yang sama sebelum dilantik sebagai AJK Pusat dan Pengerusi Tetap DHPP Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, penglibatannya dalam politik sudah lebih 40 tahun dan penyertaannya dalam Pas bagi membolehkannya untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

Tambahnya, beliau juga lebih yakin dengan parti itu yang disifatkan mantap serta kukuh, malah diterima semua.

"Saya tertarik dengan slogan Pas untuk semua. Saya juga tertarik dengan kepimpinan Pas bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam.

"Kini saya nampak Pas mula diterima semua.

"Saya juga sudah selesa dengan Pas sebab MIC sudah bersama parti ini dahulu semasa UMNO bekerjasama dalam Muafakat Nasional," katanya lagi.

Manickam turut memberi gambaran berhubung penyertaannya dalam Pas menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

"Ada hikmah di sebalik Hijrah. Saya telah berhijrah ke bulan tanpa menggunakan roket. Bagaimana dengan saudara dan saudari. Dialu-alukan untuk turut serta jika sesiapa berminat untuk bersama," tulisnya.

Pada Oktober tahun lalu, Manickam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam MIC termasuk sebagai Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan Ketua MIC Bahagian Jempol sekali gus keluar daripada parti itu.

Manickam menyertai MIC melalui cawangan Jenjarom, Kuala Langat, pada tahun 1979, sejak itu beliau memberikan khidmatnya kepada masyarakat India melalui MIC.

Selain itu, beliau merupakan bekas ADUN Jeram Padang selama dua penggal dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan (Exco) dari tahun 2013 hingga 2018. - Sinar Harian