TAWAU: Agenda utama Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) ketika ini adalah untuk memperjuangkan bantuan serta keselesaan untuk rakyat, berbanding memikirkan soal untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya Tan Sri Liew Yun Fah berkata Harapan Rakyat ketika ini tidak meletak agenda berkaitan mendapatkan kerusi di kawasan Parlimen tertentu pada PRU15, sebaliknya mahu menilai sambutan rakyat terhadap parti itu terlebih dahulu.

"Tetapi jika diberi tawaran (tanding kerusi tertentu pada PRU15) kami tidak juga tolak, kami akan terima.

"Kami yakin dan percaya rakyat sudah bersama Harapan Rakyat berdasarkan kehadiran penuh pada persidangan perwakilan ini," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Agung Perwakilan Tahunan 2022 parti itu di sini semalam.

Bagaimanapun Liew berkata partinya itu akan berjuang untuk memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan yang disandang Timbalan Presiden Harapan Rakyat Rina Jainal dikekalkan pada masa depan.

Sementara itu ditanya mengenai status permohonan parti itu untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Liew berkata parti itu ketika ini masih menunggu keputusan daripada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.

-- BERNAMA