Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan ahli parti supaya lebih berwaspada dengan gerakan fitnah untuk menjatuhkan pemimpin parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pembangkang tegasnya, menggunakan pelbagai kaedah termasuk penyiaran berita palsu menerusi media sosial, pendedahan maklumat meragukan dan penghinaan serta cercaan keterlaluan terhadap pemimpin UMNO.

"Fitnah secara terancang didalangi blok pembangkang kini cuba melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO supaya rakyat terhakis keyakinan terhadap kerajaan.

"Mereka (pembangkang) mencari kaedah secara lebih tersusun, menyerapkan unsur-unsur fitnah menerusi media sosial yang menjadi medium utama mendapatkan maklumat terkini," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, laporan fitnah menerusi media sosial sengaja ditularkan secara meluas untuk mencemarkan imej UMNO.

"Walaupun laporan tersebut sekadar fitnah dan tohmohan jahat tetapi apabila diulang penyiaraannya akan kelihatan seperti sesuatu yang benar.

"Perkhabaran fitnah menerusi laman-laman sosial kononnya berlaku pertelingkahan antara pucuk pimpinan UMNO sebagai tidak berasas dan sengaja diada-adakan.

"Perkahabaran itu cuma berita tidak bertapis yang antara lain untuk bertujuan melaga-lagakan kepimpinan parti termasuk membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.

Jelasnya lagi, cerita keburukan dan cercaan terhadap Najib sudah lama dilakukan pembangkang.

"Mereka mencari pelbagai helah dan muslihat kotor untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

"Kejayaan Najib mengemudikan parti dan dalam masa yang sama mengukuhkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi punca blok pembangkang sakit hati.

"Pembangkang amat kecewa dan sakit hati dengan kepantasan Najib merungkai segala permasalahan rakyat dan meletakkan acuan pembangunan negara pada landasan yang betul," tegasnya.

Beliau yang juga Bendahari BN Wilayah Persekutuan berharap ahli-ahli parti supaya berhati-hati dengan penyebaran maklumat palsu yang semakin rancak dilakukan pembangkang.

"Pembangkang termasuk kumpulan anti-kerajaan mencari jalan untuk mencetuskan kekeliruan dan kegawatan politik menjelang PRU ke-14 akan datang.

"Mereka sengaja memainkan sentimen perkauman, agama, ekonomi dan pendidikan untuk mengelirukan perhatian rakyat, mereka cuba perdaya pengundi dengan maklumat yang tidak betul," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali turut membidas DAP, sebuah parti rasis yang mencabar Najib yang juga Presiden UMNO berdepat dengan Lim Kit Siang.

"Cabaran DAP tersebut hanya membuang masa dan tidak menjanjikan faedah berguna kepada rakyat dan negara.

"Kita sudah dapat jangkakan, Kit Siang mahu gunakan pentas berdebat untuk memburuk-burukkan pentadbiran Najib, UMNO dan BN," tegasnya.

Lagipun jelas beliau, Kit Siang tidak menyamai taraf dengan Najib selaku Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

"Kit Siang hanya seorang pemimpin lapuk, seorang ahli Parlimen, bukannya Ketua Pembangkang," tegasnya.