PUTRAJAYA: Akademi Pilihan Raya (APR) mengunakan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi menyalurkan maklumat terkini kepada masyarakat berkaitan pilihan raya termasuk mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pelaksanaan Undi18.

Ketua Program (Pengurusan Latihan) APR Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata, penyaluran maklumat melalui platform media sosial lebih efektif serta bersesuaian dengan keadaan norma baharu ekoran pandemik COVID-19.

"Platform media sosial ini lebih dekat dengan masyarakat terutamanya golongan remaja. Sebab itu kita gunakan platform ini untuk sampaikan informasi mengenai SPR serta pendidikan pengundi kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Siri 1/2021 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, hari ini.

Nik Aminudin berkata pihaknya melaksanakan program pendedahan mengenai Undi 18 secara maya kepada golongan remaja dengan sasaran golongan pascapersekolahan yang berada di politeknik dan kolej komuniti kerana mereka telah berumur 18 tahun ke atas.

"Pendedahan mengenai ilmu pilihan raya ini juga perlu dibuat di peringkat sekolah lagi," katanya.

APR diwujudkan pada 8 Januari 2007 dan diletak di bawah Bahagian Operasi SPR. Dua objektif utamanya adalah meningkatkan pengetahuan, kemahiran pegawai dan staf SPR selain meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penglibatan dalam pilihan raya dalam kalangan penduduk khasnya pelajar dan pemilih berdaftar.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan membuat keputusan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Dis tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.

Mengenai SKILLBOX@Kelab Malaysiaku, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Hashim Bedu berkata ia adalah program webinar interaktif yang mengetengahkan pelbagai tajuk menarik bagi membantu sahsiah diri pelajar sekolah menengah.

Beliau berkata program berkenaan disertai oleh 1,204 pelajar sekolah menengah daripada 487 sekolah di seluruh negara dan antara pengisian programnya adalah pop kuiz bertemakan kenegaraan dan pengetahuan am.

Peserta akan diberikan sijil penyertaan peringkat kebangsaan dan sijil itu diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan sebagai satu kegiatan kokurikulum, katanya.

-- BERNAMA