Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan kerana ia diputuskan bersama dalam Majlis Pimpinan Pusat menerusi mesyuarat biro politik.

Oleh itu, beliau menyerahkan isu berhubung pemilihan PKR kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat JPP.

"Ada yang minta saya bagi pendirian. Saya tak boleh, itu yang penting. Yang saya tuntut supaya bersih, jangan ada pertelagahan dengan keadaan sekarang kita apa-apa keputusan kita terima dengan baik dan kita bersatu semula," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, apa yang berlaku dalam pemilihan biasanya akan dimaklumkan JPP dalam mesyuarat biro politik namun ahli jawatankuasa biasanya tidak mencampuri urusan tersebut.

"Biasanya, mereka akan maklum kepada kita. Tapi kita tak masuk campur kerana banyak ahli jawatankuasa yang terlibat dalam mesyuarat juga adalah bertanding.

"Cuma apa yang boleh dilakukan ialah memastikan peraturan dan prinsip diikuti."

Pemilhan PKR mula mencetuskan kontroversi apabila parti itu mengumumkan untuk melaksanakan pengundian secara e-voting.

Antara yang mendapat perhatian ialah pemilhan di Julau dimana berlaku pertambahan mendadak senarai keahlian yang layak mengundi dalam masa sehari.

Pada Sabtu lalu, pemilihan Julau terpaksa digantung sementara akibat daripada serangan siber ke atas tablet yang digunakan bagi proses pengundian.