Anwar luang masa beriadah dalam kesibukan berkempen

Bernama
Oktober 3, 2018 22:39 MYT
Anwar ditentang enam calon lain bagi PRK Port Dickson yang bakal berlangsung 13 Okt ini. - Gambar fail
Di sebalik kepadatan aktiviti kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap 'mencuri' masa untuk beriadah.
"Pagi ini luang masa untuk berlari-lari anak di sekitar pantai Teluk Kemang. Meski terkekang dengan jadual padat kempen, kesihatan dan stamina jangan diremehkan.
"Ternyata permulaan yang menyegarkan untuk hari ini," katanya dalam catatan di laman Instagram hari ini.
Anwar, yang telah menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, ditentang enam calon lain bagi PRK Port Dickson yang bakal berlangsung 13 Okt ini.
Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang dari PKR Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #beriadah #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PKR #Port Dickson #PRK #PRK Port Dickson #Teluk Kemang
;