Ahli parti UMNO bebas bersuara dalam mesyuarat bahagian yang bakal berlangsung hujung minggu ini demi menjamin kelangsungan parti.

Secara keseluruhannya, rata-rata Ketua UMNO Bahagian mahu melihat platform itu digunakan sewajarnya oleh anggota parti membincangkan isu dan masalah dalaman parti.

"Suara akar umbi itu penting dalam menghadapi isu atau cabaran. Inilah peluang untuk kita bersuara,"

"Tiada halangan. Kalau ada halangan sekalipun, mereka boleh gunakan persidangan dan kalau tidak selesai juga di peringkat bahagian, boleh diangkat ke Perhimpunan Agong UMNO," jelas Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Che Salleh, mesyuarat bahagian adalah medan terbaik bagi ahli parti melontarkan cadangan.

"Landasan parti UMNO dari dulu sampai sekarang menjadi satu forum untuk ahli bersuara dan buat cadangan dan ini bukan perkara baru," kata Fatmi yang juga bekas Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat pula berpendapat, tiada halangan buat akar umbi bersuara khususnya dalam mesyuarat bahagian untuk kebaikan parti.

"Saya bersetuju dalam hal berkaitan parti dan negara dibincang di sana dan ini biasa kita lakukan. Tiada halangan dan arahan tertentu. Kita bebas, setiap tahun ahli parti bersuara sama ada bersetuju atau tidak dengan dasar kerajaan dan kali ini juga tak halang untuk mereka bebas bercakap," ujarnya.

Ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian berkenaan mengulas mengenai kenyataan Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyeru akar umbi bersuara di mesyuarat bahagian parti akan datang.

Dalam satu forum yang berlangsung pada Rabu malam, Saifuddin berkata Ahli Umno yang berfikiran waras mesti bersuara di mesyuarat bahagian parti akan datang untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan perjuangan asal parti.

Mengulas lanjut, Setiusaha UMNO Johor, Jias Sardy menekankan, penyampaian suara akar umbi pada mesyuarat UMNO Bahagaian perlu dilakukan dengan tertib dan beradab, pandangan atau cadangan yang dilontarkan mudah didengari pucuk pimpinan untuk mengambil langkah yang seterusnya.

"Kita UMNO Johor tidak seharunya menahan suara dari akar umbi terutama yang di suarakan menerusi perwakilan UMNO Bahagian. Bagaimanapun kita perlu berbincang. Keutamaan ialah memperkukuhkan jurang dalam parti ini. Apapun pandangan, saya minta ia dilakukan dengan cara baik, tertib dan beradab," ujarnya.

Kenyataan Jias itu disokong Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sembrong, Nor Hafizah Mohd Naim yang mahu akar umbi pada masa sama menjaga keharmonian parti untuk mengelakkan perpecahan.

"Akar umbi boleh beri pandangan yang tidak memecah belahkan parti. Pandangan yang diberikan adalah pada landasan yang betul dan saya rasa adalah wajar untuk memberi peluang kepada akar umbi mengutarakan pandangan mereka," katanya.