Poster yang memaparkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengadakan ceramah perdana di Permatang Pauh pada 6 Mei nanti adalah palsu, kata pentadbir laman Facebook ahli parlimen Marang itu.

Abdul Hadi dikatakan telah mempunyai komitmen lain pada tarikh yang tercatat pada poster yang mendakwa ceramah perdana itu akan diadakan di Kompleks Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, Pulau Pinang.

"(Admin): Dimaklumkan bahawa poster ini adalah palsu, Tuan Guru Presiden telah mempunyai komitmen lain pada tarikh tersebut. Kami amat kesal dengan sebaran yang tidak bertanggungjawab ini," tulis pentadbir akaun Facebook Abdul Hadi.

fb hadi
Kenyataan pentadbir lama Facebook Abdul Hadi Awang yang menafikan Presiden PAS itu akan mengadakan ceramah di Permatang Pauh

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bermula 24 April lalu, Abdul Hadi tidak pernah turun untuk berkempen membantu calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam satu program berkaitan Hudud di Shah Alam beberapa hari sebelum penamaan calon, Abdul Hadi mengelak dari menjawab soalan siapa yang erlu diundi oleh ahli PAS di Permatang Pauh.

Beliau juga menjelaskan menghormati suara akar umbi PAS Kawasan Permatang Pauh yang dikatakan mahu memboikot pilihan raya kecil itu kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR yang menolak Hudud.

Pemuda PAS Pulau Pinang juga pada awalnya enggan memberikan kerjasama kepada jentera PKR untuk berdepan pilihan raya kecil itu, namun menarik balik keputusan tersebut beberapa hari selepas penamaan calon.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana didakwa meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Dr Wan Azizah, 62, berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, 44; calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50.