ALOR SETAR:Presiden (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, terdapat pihak yang cuba menghalang dan mengagalkan pendaftaran parti itu ketika ini.

Menurut beliau, pihaknya sudah memenuhi segala syarat yang diperlukan oleh pihak berkuasa, namun Pejuang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Tegas Mukhriz, Jawatankuasa Penaja Parti ketika ini masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada JPPM berhubung perkara berkenaan walaupun pertemuan telah dilakukan bersama pegawai di jabatan itu.

Susulan itu, Mukhriz berharap agar ketulusan dapat ditonjolkan pihak JPPM selain "pihak tertentu" yang didakwa terlibat dalam menghalang pendaftaran Pejuang agar tidak takut dengan kekuatan parti itu dan menghormati amalan demokrasi yang wujud di negara ini.

"Saya nampak mungkin ada (pihak yang menghalang), daripada pandangan saya memang ada lah, kalau tidak (ada yang halang), sepatutnya sudah boleh diluluskan (pendaftaran parti), kalau ikut KPI  (petunjuk prestasi utama) RoS, dia ada dia punya timeline, jadi apa gunanya ada KPI macam itu kalau tidak maklum kepada kita apa lagi yang diperlukan dan kalau tiada (apa yang belum lengkap), kenapa (RoS) tak luluskan?

"Kita amalkan demokrasi, menang kalah tu biasa lah kan, kita serah kepada rakyat, jadi kalau awal-awal lagi dah tahan (tidak luluskan Pejuang) macam mana kita mahu hidupkan demokrasi,” kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Kedah oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

BACA: Pejuang masih tunggu kelulusan RoS - Dr Mahathir

BACA: 
Maszlee Malik umum tarik diri daripada Pejuang