Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali mengurangkan satu kerusi exco Pas memperlihatkan wujudnya gerakan terancang dalam usaha mengurangkan suara wakil parti tersebut di dalam sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan negeri itu kelak.

Menurut beliau, pengurangan satu kerusi exco PAS ini juga secara jelas membuktikan bahawa kepercayaan PKR dan DAP terhadap PAS sudah mula goyah dan usaha untuk mengekang suara dan pengaruh PAS di dalam sebarang keputusan yang dibuat sedang dilaksanakan.

"Walhal, di Selangor PAS mempunyai lebih kerusi berbanding dengan PKR dan tidak sepatutnya kerusi exco yang sudah diperuntukkan kepada parti tersebut dikurangkan. Ini jelas memperlihatkan bahawa PAS sudah tidak lagi dipercayai oleh rakan-rakan sekutu mereka dan usaha untuk mengurangkan suara dan pengaruh PAS di negeri Selangor dengan dilaksanakan.

"Apa yang berlaku ini bagi saya juga merupakan satu bentuk hukuman terhadap PAS khususnya di dalam kemelut MB Selangor, di mana PAS dilihat tidak memberi kerjasama yang baik sehingga dilabelkan oleh pengkhianat oleh rakan sekutu mereka sendiri.

"Dan tindakan mengurangkan jawatan exco PAS di dalam pentadbiran Selangor mungkin satu strategi terancang PKR dan DAP untuk menghadkan pengaruh, kuasa dan juga suara PAS di dalam pentabiran negeri Selangor,” jelasnya ketika memetik laporan UMNO-Online di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, tindakan Azmin melantik seorang wakil PAS bagi menjawat jawatan timbalan speaker DUN Selangor pula hanya sekadar untuk menyejukkan hati PAS Selangor.

"Bagi saya jawatan timbalan speaker DUN yang diberikan kepada PAS itu juga hanyalah sebagai penyedap hati di mana kuasa timbalan speaker amat terhad dan tidak mampu untuk memberikan sebarang impak atau pengaruh terhadap mana-mana keputusan yang dibuat oleh exco negeri.

"Berdasarkan senario di atas, apa yang jelas bagi saya, kedudukan Pas Selangor di dalam pakatan pembangkang jelas kini dicurigai oleh kepimpinan PKR dan DAP. Secara tidak langsung, kemelut yang berlaku ini juga akan memberikan kesan terhadap penglibatan PAS di dalam pakatan di peringkat pusat.

"Walaupun ada yang beranggapan bahawa kemelut pentadbiran Selangor akan selesai dengan pelantikan Azmin, namun saya yakin bahawa tindakan Azmin mengurangkan wakil PAS di dalam jemaah exco negeri akan mengundang rasa tidak puas hati dikalangan kepimpinan PAS yang boleh membawa pakatan pembangkang ke kancah kemelut yang lebih serius tidak lama lagi," ujarnya.