Barisan Nasional tidak pernah merestui tindakan Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu sebagai calon mesra BN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata dakwaan parti itu yang meletakkan presiden mereka, Larry Sng, sebagai calon mesra BN di kawasan parlimen adalah tidak benar sama sekali.


Najib berkata sokongan padu rakyat di sini terhadap William Nyalau sebagai calon BN Parlimen Lubok Antu juga akan menjadi sumbangan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri.

"Kalau anda pilih SWP bererti anda tidak mengundi saya. Mereka (SWP) tidak menyumbang kepada saya untuk terus menjadi perdana menteri. Kalau anda mengundi PKR, anda hanya akan menyumbang kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya.

William Nyalau yang merupakan penyandang kerusi parlimen Lubok Antu akan turut ditentang calon PKR Nicholas Bawin.

Najib berkata taktik SWP untuk menggunakan wang ringgit untuk meraih undi di kalangan masyarakat di Lubok Antu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Iban menunjukkan parti pembangkang itu cuba merendah-rendahkan maruah diri masyarakat di sini.

"Kalau kita undi dia (Larry Sng), kita (pengundi) akan hilang maruah dan nilai diri. Masyarakat Iban perlu terus mempertahankan nilai dan maruah diri mereka," katanya.