Suruhanjaya Pilihan Raya bersedia menguruskan Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata SPR tiada masalah untuk menjalankan proses demokrasi itu sekiranya Parlimen dibubarkan hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui buat masa ini, SPR masih perlu memperkemaskan beberapa aspek pengurusan pilihan raya.

"Jika parlimen bubar hari ini, masih sempat untuk buat persediaan 100 peratus kerana SPR mempunyai masa selama 60 hari selepas bubar (untuk mengadakan pilihan raya)," kata Aziz dalam mesej ringkasnya kepada Astro Awani.

Aziz mengulas tahap persediaan SPR ketika khabar angin kuat mengatakan ada kemungkinan Parlimen akan dibubarkan hari ini.

Menurut rekod SPR, mandat Dewan Rakyat berakhir secara automatik pada 30 April 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional pada Khamis mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen BN dan pengerusi badan perhubungan BN negeri bagi memuktamadkan pembahagian kerusi dan senarai calon.

Pertemuan tertutup itu disifatkan oleh pemerhati politik sebagai antara petanda kuat Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.