Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Khamis mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Pekan bagi membincangkan persiapan akhir bahagian itu bagi menghadapi pilihan raya umum pada 5 Mei.

Mesyuarat tertutup selama 45 minit itu dihadiri Naib Ketua Bahagian Datuk Ishak Mohamad dan anggota jawatankuasa.

Menurut Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, Muhamad Sharif Al-Din Ahmad, Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan dan penyandang kerusi Parlimen Pekan, meminta jentera Umno bahagian itu melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan kawasan Parlimen Pekan terus kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Ditanya sama ada mesyuarat berkenaan turut membincangkan soal calon, beliau secara berseloroh berkata:"Hanya Parlimen Pekan sahaja yang kita dah tahu siapa calonnya".

Terdapat empat kerusi dewan undangan negeri di bawah kawasan Parlimen Pekan iaitu Bebar, Pulau Manis, Peramu Jaya dan Chini.

"Siapa sahaja yang bakal menjadi calon nanti akan kami sokong, apa yang pasti Pemuda Pekan mahu mengekalkan kemenangan besar BN di sini," katanya.