Gabungan calon muka baharu dan lama Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) penting bagi mengimbangi pembaharuan dan pengalaman yang dimiliki mereka dalam memimpin rakyat dan mentadbir kesinambungan pembangunan negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kehadiran muka baharu berupaya membawa pembaharuan kepada parti apabila terpilih mewakili rakyat.

"Gandingan muka baharu sebagai tenaga baharu dan membawa idea baharu, tetapi dalam masa yang sama kita mahukan orang lama yang bekerja yang pernah menjalankan tugas baik untuk ada kesinambungan wakil rakyat bagi memastikan kelancaran proses transformasi negara seperti yang dimahukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata setiap wakil rakyat termasuk calon yang dipilih seharusnya meneruskan kerja-kerja berkhidmat kepada rakyat terutama mengadakan program turun padang bagi memahami masalah mereka.

Beliau turut mengakui bahawa kebanyakan calon muka baharu yang dipilih merupakan kemunculan pertama kali yang harus diberi peluang berdasarkan pemikiran idea baharu golongan pelapis muda sementara muka lama tidak harus dipinggirkan.

"Setiap wakil rakyat (yang dipilih) harus memastikan setiap rakyat kawasan mereka tidak terbiar kerana kita mesti ada kesinambungan dan perancangan bagi setiap program yang telah dijalankan sampai dan penting memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Musa menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Sabah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Almain Ajirul, Pengarah Penyiaran Sabah Jalani Mahmud dan Pengarah JASA Sabah Abdul Manap Lakariba.

Pada sidang akhbar itu, Musa turut mengumumkan Datuk Raime Unggi sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Tenom.

Semalam, Musa ketika mengumumkan calon bagi Umno, parti yang menunjangi BN Sabah, mengemukakan enam muka baharu sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada pilihan raya umum kali ini.

Di Sabah sebanyak 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN dipertandingkan pada PRU13.