Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepimpinan tertinggi Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai calon yang sesuai dan layak untuk bertanding mana-mana kerusi panas ketika pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Nama-nama untuk menentang orang kuat pembangkang juga sudah disediakan selain nama-nama untuk kawasan panas.

"Ada beberapa kawasan panas yang telah kita kenal pasti dan namun itu tidak menjadi masalah (meletakkan calon)," katanya kepada Bernama.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata senarai calon BN bagi PRU13 dijangka diumumkan minggu ini.

Sebelum ini dilaporkan pembangkang meletakkan beberapa nama besar mereka untuk kononnya cuba merampas kerusi milik BN seperti di Putrajaya, Gelang Patah dan Pulai.

Ahmad Zahid berkata tindakan pembangkang untuk menamakan calon-calon utama mereka itu hanyalah perang psikologi dalam dunia politik sedangkan Umno dan BN telah lama bersiap siaga menghadapi mereka di kancah PRU13 kelak.

Rata-rata penganalisis politik turut berpendapat kebiasaannya BN akan menyiapkan senarai calon untuk kawasan lain sebelum memberi tumpuan khusus kepada kawasan panas atau kawasan yang bakal ditentang calon utama pembangkang.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk yang berada di medan hadapan negara telah bersiap siaga menghadapi PRU13 ini selain menjalankan tanggungjawab utama mereka menentang musuh negara.

"Baru-baru ini saya ke Lahad Datu, Sabah dan menemui polis dan tentera yang bertugas di medan hadapan. Mereka setia bertugas. Mereka ialah harapan kita.

"Kita meletakkan keyakinan penuh atas kemampuan dan profesionalisme mereka. Saya yakin negara bergantung harap kepada mereka walaupun apa jua situasi berlaku," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu mengumumkan penamaan calon pada 20 April manakala pengundian PRU13 ditetapkan pada Ahad, 5 Mei.

Sebagai langkah transformasi, sistem Undi Pos, PRU13 akan menyaksikan anggota Polis dan Tentera beserta pasangan mereka akan mengundi tiga hari lebih awal daripada tarikh pengundian biasa.

Untuk PRU13 ini sebanyak 161,251 orang tentera dan pasangan, dan 111,136 anggota polis dan pasangan serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengundi.