Blogger Milo Suam yang diburu polis kerana dikatakan mendedahkan 'kesalahan' dalam Pilihan Raya Umum ke-13, dilaporkan telah ditahan polis lewat malam semalam.

Menurut laporan laman berita Keadilan Daily yang memetik kenyataan laman Facebook rasmi Keadilan, sepasukan polis juga telah datang ke ibu pejabat parti itu di Merchant Square, Petaling Jaya.

“Blogger Milo Suam ditahan polis dan dibawa ke Bukit Aman. Polis juga sekarang berada di hadapan Ibu Pejabat Keadilan di Merchant Square,” kenyataan itu dipetik.

Pada Isnin lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata Unit Pelan Tindakan Media telah mengesan pemilik blog Milo Suam yang mendakwa anggota polis mengundi lebih awal.

Pemilik blog tersebut dilaporkan akan disiasat mengikut Akta Pilihan Raya 1958, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebar maklumat tidak benar.

Sementara itu, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof menggesa penyebaran maklumat seumpama itu dihentikan,

"Sesiapa yang mendapat maklumat tidak sahih perlu merujuk kepada polis dan melaporkan perkara itu kepada kami. Ini memudahkan tugas polis dan mengelakkan penyebaran berita tidak benar," katanya.

Sejak penamaan calon 20 April lalu, polis menerima 2,035 laporan berkaitan PRU-13. Berdasarkan itu 65 tangkapan dibuat pada Sabtu lepas dan 11 tangkapan semalam di seluruh negara, katanya.