Biarpun sudah tiga kali kecundang, pakar motivasi dan penulis buku Billi Lim atau nama sebenar Lim Peng Soon masih menyimpan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.

Lim, 63, berkata, dia bakal bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kelana Jaya dengan janji untuk membawa perubahan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan.

“Isu yang ingin saya ketengahkan jika dipilih sebagai wakil rakyat adalah penurunan harga rumah dan kereta yang merupakan beban utama penduduk secara menyeluruh,” kata Lim ketika ditemui Astro Awani.

Pakar motivasi antarabangsa ini yakin dalam pilihan raya umum kali ini beliau mampu mencabar calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat di Kelana Jaya.

“Saya percaya pada tahun ini saya boleh menang sekiranya bertanding untuk kerusi Parlimen Kelana Jaya,” tambah Lim.

Lim yang mendakwa kerugian lebih RM30,000 ketika bertanding dalam tiga pilihan raya umum berkata beliau sudah banyak belajar daripada pengalaman menyertai pilihan raya.

''Saya tidak mahu kehilangan wang pertaruhan lagi kali ini. Saya akan kerja keras untuk menang," katanya.

Penulis buku “ Dare to Fail” ini pernah bertanding di Parlimen Bukit Bintang pada tahun 1999 dan 2004 namun kalah dengan hanya mendapat 198 dan 132 undi sahaja.

Bagaimanapun pada tahun 2008, beliau bertanding di Parlimen Kelana Jaya dan berjaya meraih 1,895 undi yang memberikannya harapan dan keyakinan untuk bertanding sekali lagi kali ini.

Pada PRU-12, calon PKR, Gwo Burne Loh menang kerusi Parlimen Kelana Jaya dengan jumlah 30,296 undi manakala penyandang BN, Datuk Lee Hwa Beng meraih 25,267 undi.