Pelakon Azhar Sulaiman merupakan mangsa terbaru pembuli siber berikutan tindakannya menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Akaun FB pelakon itu digodam teruk oleh pembuli siber apabila memuat-naik dua video di Facebook dan YouTube, yang menyokong BN pada minggu lepas dan telah menyinggung perasaan penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Berikutan dengan ugutan dan cemuhan oleh penyokong PR di laman FBnya, beliau telah bertindak dengan membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail petang ini, bagi menjamin keselamatan dirinya, kata Azhar pada sidang berita di sini.

Akaun FBnya yang mempunyai 11,000 pengikut digantung Ahad lepas berikutan tindakan menggodam oleh pembuli siber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickefileds ACP Azlee Abdullah berkata pihaknya telah menerima laporan Azhar dan sedang menyiasat.

Sebelum ini pelakon antarabangsa Michelle Yeoh dikritik oleh penyokong PR apabila menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di satu jamuan malam di Klang pada 20 April lepas.

Penyanyi Eric Moo turut dikutuk dan diugut kerana membuat persembahan di satu konsert dipercayai dianjur oleh BN.