Seorang pegawai bank dan suaminya yang dipercayai terbabit dalam kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun milik penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Izany Abd Ghani berkata pegawai bank itu yang bekerja di bank berkenaan sejak 10 tahun lalu ditahan di rumahnya di Ampang kira-kira 4 petang.

"Suaminya yang berusia 33 tahun turut ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya. Polis percaya suaminya mungkin turut terlibat.

"Polis masih belum mendapat rakaman kamera litar tertutup (cctv) daripada pihak bank. Ia akan mengambil masa sedikit," katanya kepada Bernama dan menambah kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Izany menasihati keluarga penumpang MH370 yang pesawat itu masih belum ditemui supaya meneliti kenyataan akaun bank penumpang.

"Keluarga mereka boleh periksa kenyataan bank penumpang. Kita minta mereka berwaspada," katanya.

Rabu lepas media melaporkan sebanyak RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 lesap daripada akaun bank dipercayai dipindahkan oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.

Siasatan mendapati wang dari akaun milik penumpang dipindahkan ke akaun penumpang lain melalui perbankan Internet melibatkan jumlah keseluruhan RM110,643.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.

Kejadian disedari pada 18 Julai lepas oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun berkenaan.

Sementara itu, polis sedang mengesan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam kes pengeluaran wang daripada akaun milik mangsa pesawat MH370.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi SAC Zainuddin Ahmad berkata lelaki yang dikenali sebagai Ali Farran berusia lingkungan 30 tahun itu yang bekerja sebagai mekanik di Pandan Indah, Ampang dikehendaki polis untuk membantu siasatan.

Alamat terakhir suspek No.2 Lorong Kemajuan 2, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Zainuddin berkata hasil siasatan polis mendapati wang RM35,000 yang dilesapkan daripada akaun milik mangsa MH370 dimasukkan ke dalam akaun bank lelaki Pakistan itu.

"Polis percaya lelaki itu melarikan diri dengan wang itu berikutan tiada wang dalam akaun berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui apakah hubungan antara pegawai bank yang ditahan semalam dengan lelaki Pakistan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, setakat ini polis mengambil keterangan daripada enam individu termasuk pengurus bank berkenaan.