Sejak kehilangan pesawat MH370 8 Mac lalu, CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya antara yang paling tercabar kepimpinannya. - Astro AWANI Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Renungan matanya yang tajam dan perilakunya yang tenang pada minggu-minggu selepas kehilangan pesawat penerbangan MH370 tidak dapat menyembunyikan tanggungjawab berat yang terpikul pada bahunya. Bagaimanapun, CEO Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya atau lebih dikenali sebagai 'AJ' tahu menyembunyikan perasaannya.
Hanya pada 24 Mac lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan nasib pesawat Boeing yang membawa 239 orang itu barulah Ahmad Jauhari menunjukkan perasaan yang terbuku di hatinya. Lelaki berumur 59 tahun itu dilihat tidak dapat lagi menampung air mata dan fotonya ditenangkan dan dipeluk pada hari itu disiarkan oleh media.
"Hanya beberapa minggu sebelum kehilangan pesawat ini, ibunya meninggal dunia semasa dia menghadiri satu pertunjukan udara. Dia hadir pada pengkebumian ibunya tetapi kemudian bergegas kembali bertugas," kata seorang sumber yang dekat dengan Ahmad Jauhari.
Bagi seseorang yang belum sempat untuk berdukacita atas kehilangan peribadinya itu dan kemudian tiba-tiba tercampak ke tengah-tengah perhatian media untuk bertanggungjawab atas bencana yang luar biasa ini, Ahmad Jauhari — banyak yang mungkin setuju — menangani keadaan 'dengan agak baik'.
"Dia kehilangan ibunya. Tidak banyak orang betah," kata sumber itu tentang Ahmad Jauhari yang memimpin MAS sejak 2011.
Cara Ahmad Jauhari bercakap dengan jelas dan tenang semasa sidang media, menuturkan setiap patah perkataan dengan setelah memikirkannya dengan teliti malah menjadi contoh dalam kuliah perhubungan awam.
"Beliau sangat profesional dan agak mengejutkan bagaimana beliau dapat bertahan sehingga ke hari ini biarpun menanggung beban yang berat untuk negara," kata Malik Ridhwan dari Taylor’s University yang hadir dalam satu kuliah ketika mana pensyarahnya menunjukkan klip video Ahmad Jauhari semasa dalam satu sidang media.
Desakan letak jawatan
Biarpun ada sokongan di kalangan mereka yang dekat dengan Ahmad Jauhari serta daripada rakyat Malaysia, tidak semua orang berlembut dengan veteran korporat ini, yang juga seorang juruterbang bertauliah.
Jauhari antara yang kerap mengiringi setiap sidang media Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien - Foto Astro AWANI Shahir Omar
"Beliau seorang yang baik hati tetapi tidak semestinya seorang CEO yang baik. Beliau mungkin seorang ketua yang baik di Malakoff dan industri lain tetapi ini adalah sesuatu yang di luar jangkauannya, penerbangan.
"Beliau perlu menunjukkan kebertanggungjawaban korporat dan letak jawatan segera," kata bekas ahli parlimen, Wee Choo Keong, seorang pengkritik MAS sejak bertahun-tahun.
Wee merujuk kepada beberapa 'kesilapan' MAS seperti aliran maklumat yang lambat dan percanggahan yang ketara pada hari-hari awal termasuk waktu kejadian yang berbeza penumpang yang tidak menaiki pesawat dan bagasi mereka, dan pelbagai lagi.
"Kebaikan hati akan menyebabkan lebih banyak ketidakcekapan di negara ini. Sebagai CEO sebuah syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan dan syarikat senarai awam yang tidak kurang berprestasi, kita tidak boleh kata letak jawatan adalah hal peribadi," kata ahli politik itu, mengulangi desakan pihak lain yang mahu Ahmad Jauhari letak jawatan.
Kesatuan Anak Kapal Kabin Kebangsaan (NUFAM) yang mendakwa mewakili 3,500 anak kapal di MAS juga bertegas Ahmad Jauhari harus letak jawatan.
NUFAM merujuk kepada beberapa kejadian yang berlaku selepas kehilangan pesawat pada 8 Mac itu. Antaranya ialah penerbangan ke London yang dijadual semula kerana masalah teknikal, pesawat MAS yang dilanggar oleh unggas di Kathmandu dan pesawat ke Korea Selatan yang terpaksa dialihkan ke Hong Kong selepas penjana kuasa pesawat gagal berfungsi.
Krisis yang dihadapi oleh MAS sekarang diburukkan lagi dengan masalah kewangan yang sedia dihadapi oleh syarikat itu yang selama ini rugi besar.
Pada tahun lalu, syarikat penerbangan keempat terbesar dalam nilai pasaran itu rugi RM1.17 bilion di tengah-tengah kos operasi yang tinggi dan pulangan rendah daripada tambang penerbangan.
‘Kami perlukan kapten kami’
Mendung yang menyelubungi syarikat itu bagaimanapun tidak memadamkan semangat mereka yang masih berharap kepadanya, terutamanya MAS sendiri, yang melihat beliau sebagai penyuluh kekuatan pada saat mereka memerlukan petunjuk seperti ini.
"Bukankah tidak adil untuk meminta beliau letak jawatan di tengah-tengah krisis seperti ini?
"Beliaulah orangnya (untuk menangani keadaan ini). Selama ini, beliaulah kapten kami dan orang tidak boleh mendesak kapten kami pergi kerana kami perlukan beliau," kata seorang sumber.
Di sebalik cabaran yang dihadapinya, ada yang berpendapat Jauhari diperlukan MAS untuk menghadapi cabaran mendatang. Foto Astro AWANI Shahir Omar
Sumber itu menjelaskan ramai orang di MAS yang selesa dengan "kehadirannya pada masa ini" kerana beliau terus yakin dan mempunyai wawasan yang baik.
Biarpun ketika usaha mengesan pesawat itu yang disifatkan sebagai 'paling sukar dalam sejarah manusia' masih diteruskan, Ahmad Jauhari tetap bertahan dan menegaskan bahawa cakap-cakap tentang perletakan jawatannya akan dilayan "selepas ini".
"Ini adalah keputusan peribadi. Saya masih ada kerja di sini, kami ada banyak kerja. Syarikat ini perlu bangkit semula dan itulah yang akan kami lakukan," katanya semalam.
Namun orang terus mempersoalkan prestasi Ahmad Jauhari dan setakat ini beliau dibandingkan dengan CEO sebelumnya. Adakah orang lain akan menanganinya dengan lebih baik?
AJ di mata wartawan
Bagi seorang wartawa yang telah meliputi industri penerbangan selama bertahun-tahun, Ahmad Jauhari seorang yang kurang bercakap dan dibayangi oleh CEO-CEO sebelumnya.
“Bandingkan beliau dengan CEO sebelumnya, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, yang tahu apa yang dia lakukan, Ahmad Jauhari nampak seperti hilang punca, tidak begitu mahir dan tidak mengurus secara mikro," kata wartawan itu.
Katanya, Ahmad Jauhari seorang yang tidak mesra media dan akan "lari" sekiranya ada isu kontroversi.
"Pernah sekali beliau hanya berlalu ketika didekati oleh wartawan. Begitulah dia dulu, lebih selesa menjauhkan diri dan bukannya mendekati," katanya tetapi menambah CEO itu sekarang nampaknya telah berubah.
"Saya rasa beliau ikhlas bersimpati dengan keluarga yang terlibat, mungkin penasihatnya tidak menasihatkannya dengan betul, tetapi hatinya di tempat yang betul."
Seorang lagi wartawan, seorang editor, tidak setuju bahawa Ahmad Jauhari sukar didekati dan sebaliknya berkata beliau "selalu merendah diri dan boleh jadi sinikal juga."
"Dia pelari maraton, mentalnya kuat. Dia boleh menangani keadaan apabila dia mengambil alih syarikat biarpun syarikat itu rugi. Dia boleh berdepan dengan laporan media yang negatif," katanya, yang pernah sama-sama menyertai satu kejohanan maraton bersama Ahmad Jauhari. CEO MAS itu seorang yang cergas; berlari dan berenang pada masa lapangnya.
Bagaimanapun, kecergasan fizikal itu tidak menyembunyikan tekanan mental yang cukup menghenyak.
Semasa sidang media harian, Ahmad Jauhari nampak lebih senyap berbanding Pemabngku Menteri Pengangkutan Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.
“Dia nampak muram seolah-olah seluruh alam terhimpap pada bahunya. Kalau saudara tunjukkan saya gambarnya semasa dia tersenyum, saya mungkin tidak cam," kata seorang wartawan yang meliputi sidang media harian itu.
"Dia begitu profesional, sangat tenang dan konsisten sepanjang masa. Dia yang paling tenang antara semua yang ada di pentas. Tetapi kita masih boleh lihat dia masih seorang manusia. Dia nampak jujur dan mahukan yang terbaik untuk keluarga dan krew," tambahnya.
Nasihat bekas CEO
Bekas CEO MAS Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, yang menerajui syarikat penerbangan itu semasa nahas Boeing 737-200 di Tanjung Kupang, Johor pada 1977 yakin Ahmad Jauhari boleh mengatasi dugaan ini.
“Saya yakin dia tahu tugasnya dan dia akan lakukan yang terbaik," katanya.
“Saya rasa tidak adil kalau orang minta dia letak jawatan. Ini bukan budaya Malaysia, seperti di Jepun yang malah sanggup hara-kiri untuk menunjukkan rasa malu. Sekarang ini beliau sedang membetulkan keadaan, memulihkan imej. Itu adalah mengambil tanggungjawab."
Abdul Aziz berkata junior beliau dua dekad itu telah melakukan tugasnya dengan agak baik terutamanya dengan ahli keluarga biarpun ada sesetengah yang mengeluh.
“Pada mulanya agak lembap dan bukan mudah untuk menguruskan keadaan tetapi saya tahu sesiapa pun tidak akan dapat menguruskannya dengan lebih mudah.
"Saya perasan semasa sidang media, mereka tidak menjawab soalan seperti yang dikehendaki. Tidak ada alasan yang diberikan kepada sesuatu perkara. Tetapi pada masa sama tentulah susah hendak beritahu kepada umum apa yang berlaku sekiranya mereka sendiri tidak tahu apa yang terjadi. Ini satu dilema," kata Abdul Aziz.
Bolehkah dia bertahan?
Barangkali dilema terbesar Ahmad Jauhari ialah apabila beliau terpaksa memberitahu hampir 1,000 ahli keluarga bahawa harapan untuk menemui mereka yang terselamat adalah tipis.
Untuk itu, beliau sekarang terpaksa menanggung beban kemarahan sanak saudara yang tidak dapat menerima kenyataan itu sehinggalah bangkai pesawat ditemui. Tekanan daripada antarabangsa ke atas Malaysia dan MAS juga terus menghenyak.
“Dia penat mengendalikan krisis ini selama berminggu-minggu tetapi dia tetap tenang. Dia tidak pernah nampak hilang sabar, mungkin sekali.
“Saya boleh nampak dia cuba untuk menjelaskan semua perkara, apa yang dikatakan, perkara-perkara yang dia faham. Dia fokus kepada hal-hal yang berlaku di sekelilingnya," kata sumber yang dekat dengan Ahmad Jauhari.
Biar apapun, sumber itu yakin Ahmad Jauhari akan terus bertahan kerana dia tahu dia diperlukan. "Beliau bukan seorang yang mudah putus asa," katanya.