Majlis Keselamatan PBB dengan sokongan Rusia sebulat suara mengutuk tindakan menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 dan menuntut akses ke atas lokasi nahas yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak di timur Ukraine.

Draf resolusi dengan nada tegas itu dirangka oleh Australia dan diterima selepas beberapa pindaan atas permintaan Moscow.

Resolusi itu menggesa satu siasatan bebas antarabangsa yang penuh dan menuntut mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan. Nahas itu membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

"Kita mesti ada jawapan. Kita mesti ada keadilan," kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop dalam sidang 15 anggota Majlis Keselamatan di New York.

Resolusi itu menyeru semua negara serantau untuk bekerjasama dalam siasatan itu. Seruan itu secara tersirat ditujukan kepada Rusia yang dituduh mendalangi kumpulan pemberontak di timur Ukraine itu.

Kumpulan pemberontak yang menguasai wilayah yang digelar Republik Rakyat Donetsk menuntut pemisahan daripada Ukraine.

"Kita mengalu-alukan sokongan Rusia ke atas resolusi ini tetapi tidak perlu kepada resolusi ini sekiranya Rusia menggunakan pengaruhnya dengan kumpulan pemisah itu pada Khamis untuk mereka letak senjata dan menyerahkan lokasi nahas kepada pakar antarabangsa," kata Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power.

Power menggesa Rusia bertindak tegas bagi membolehkan siasatan bermula serta menekan ke arah penyelesaian konflik bersenjata di timur Ukraine.

"Sekiranya Rusia bukan sebahagian daripada penyelesaian, ia akan terus jadi sebahagian daripada masalah," katanya.

Pesawat penerbangan MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh misil yang dilepaskan dari darat ke udara. Daripada 298 yang terbunuh, 44 adalah warga Malaysia. Netherlands mempunyai jumlah mangsa paling ramai iaitu sebanyak 193 orang.

Ketetapan Majlis Keselamatan itu juga menuntut semua aktiviti ketenteraan termasuk oleh kumpulan bersenjata "dihentikan segera di kawasan berdekatan dengan lokasi nahas bagi menjamin keselamatan siasatan antarabangsa."

Rusia mendesak beberapa perkataan dalam resolusi itu dipinda untuk menjelaskan bahawa Ukraine akan mengambil bahagian dalam siasatan tetapi tidak memainkan peranan utama. Peranan utama itu sebaliknya diletakkan pada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Rusia juga menuntut istilah "menembak jatuh" dipinda kepada "menjatuhkan" kerana berpendapat ia membuat rumusan awal sebelum siasatan selesai.

Pemimpin dunia sebelum ini mendesak Presiden Vladimir Putin menggunakan pengaruhnya untuk memujuk kumpulan pemisah itu menyerahkan mayat-mayat mangsa nahas dan memberikan akses penuh ke atas lokasi kejadian.

Kumpulan pemisah itu kemudian mencapai kata sepakat dengan Malaysia setuju untuk menyerahkan dua kotak hitam pesawat itu yang diambil dari tempat kejadian diserahkan kepada Malaysia.

Semua mayat yang dikeluarkan daripada lokasi nahas akan dibawa ke Amsterdam untuk urusan pengecaman identiti dan seterusnya diserahkan kepada waris masing-masing.

Menteri Luar Netherlands, Frans Timmermans yang menghadiri sidang Majlis Keselamatan itu melepaskan kemarahan ke atas apa yang berlaku yang menyebabkan semua usaha mendapatkan akses ke atas lokasi kejadian tertangguh.

"Sampai mati pun saya tidak akan faham bagaimana mungkin kita mengambil masa beberapa hati untuk melakukan sesuatu yang sopan dan penuh tatasusila iaitu mengumpulkan jenazah itu dengan cara yang penuh hormat, membawa mereka ke rumah mayat dan membawanya pulang," kata Timmermans dalam sidang media sebelum Majlis Keselamatan bersidang. -- Agensi