Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyelar sesetengah pihak yang menuduh kerajaan melakukan pembaziran apabila mengadakan istiadat penghormatan jenazah mangsa nahas MH17 pada Jumaat.

Beliau berkata apabila Belanda menghargai dan memberi penghormatan sebegitu rupa, maka Malaysia selaku 'tuan rumah', perlu melakukan lebih atau sama dengan apa yang dilakukan negara berkenaan.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan membazir apabila mengadakan istiadat itu.

Pasawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Pada Jumaat jenazah 20 mangsa rakyat Malaysia nahas itu disambut dengan Istiadat Penghormatan Jenazah di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Selain itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17 tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Beliau berkata insiden berkenaan merupakan tragedi misteri yang tidak patut dihukum dari segi ekonomi kepada Malaysia.

"Dunia tidak menghukum atas apa yang berlaku kepada MAS. Itu sebab pertumbuhan ekonomi negara mencapai 6.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seputeh di sini, pada Sabtu.

Oleh itu, dari segi ekonomi, kedua-dua insiden itu tidak menjejaskan ekonomi Malaysia, katanya kepada Bernama.

Ahmad Maslan bagaimanapun berkata dari sudut MAS itu sendiri, pihaknya sedang menilai, memperbaiki dan menstruktur semula dengan harapan syarikat penerbangan itu akan terus bertapak di peringkat antarabangsa.