Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini turut berkabung sempena Hari Perkabungan Negara di Malaysia hari ini dengan mengibarkan bendera AS separuh tiang di kedutaannya.

Gambar bendera AS separuh tiang itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Twitter dan laman web kedutaan di http://malaysia.usembassy.gov/

"Rakyat AS bersama-sama rakyat Malaysia pada Hari Perkabungan ini. Doa dan ingatan kami bersama keluarga mangsa tragedi MH17," katanya dalam catatan yang turut disertai gambar.

Gambar itu menunjukkan bendera AS dikibar separuh tiang dan sepanduk hitam dengan tulisan berwarna putih 'MH17' digantung di pintu pagar hadapan kedutaan.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain rakyat Malaysia dan Filipina, ia turut mengorbankan warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Kanada dan New Zealand, antara 298 orang yang menaiki pesawat itu.