Jenazah mangsa nahas MH17 Tambi Jiee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang pada 2.30 petang tadi selepas solat jenazah.

Jenazah Tambi dikebumikan bersebelahan pusara isterinya Ariza Ghazalee dan anak sulongnya Muhd Afif Tambi yang disemadikan pada 22 Ogos lepas.

Hadir sama di Masjid Jamek untuk upacara solat jenazah ialah Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta beberapa menteri negeri.

Jenazah Tambi Jiee tiba di tanah air dari Belanda pada jam 8.28 pagi tadi bersama abu mayat kanak-kanak juga mangsa tragedi MH17, Benjamin Lee Jian Han, 1.

Istiadat penghormatan diberikan kepada kedua-dua jenazah sebelum pesawat membawa jenazah Tambi berlepas dari Kompleks Bunga Raya, KLIA ke Kuching, Sarawak pada pukul 9.20 pagi.

Turut mengiringi jenazah Tambi di dalam pesawat ialah Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim termasuk wakil keluarga.

Ketibaan jenazah Tambi Jiee di Pangkalan TUDM Kuching, Sarawak pada jam 11.40 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama isteri serta kira kira 500 ahli keluarga Allahyarham.